in #skolafunded, Articles

Razlan adalah salah seorang pelajar yang telah berjaya untuk mendapatkan biasiswa pendidikannya dengan sokongan masyarakat melalui Skolafund.com dan juga Syarikat Telco, Maxis yang telah memberikannya biasiswa penuh. Razlan telah menghantar kepada kami “sekeping” e-mail beberapa minggu yang lalu untuk memaklumkan penaja-penajanya tentang keadaannya di Adelaide. Ini adalah kandungan email tersebut, khas buat para penaja Razlan.

Assalamualaikum wr wb,

Apa Khabar tuan/puan sekeluarga? Khabarnya Jerebu sedang kuat melanda negara kita sekarang ya?
Diharapkan agar kesihatan tuan/puan tidak terlalu dijejaskan oleh keadaan jerebu hendaknya.

Pertama sekali, saya ingin memohon maaf daripada tuan/puan kerana tidak mengirimkan emel ini lebih awal kepada tuan/puan. Saya mengalami kesuntukan masa dan beberapa kesulitan lain yang perlu diuruskan setibanya saya di sini Julai yang lalu. Untuk pengetahuan tuan/puan, perjalanan saya dari Pulau Pinang ke Adelaide adalah agak lancar walaupun berhadapan dengan beberapa masalah antaranya terkandas di Singapura. Namun begitu, saya amat bersyukur kerana pihak syarikat pengendali penerbangan Qantas Air telah berusaha dengan bersungguh-sungguh menyelesaikan masalah yang saya hadapi dengan mengaturkan jadual penerbangan yang baru dan menyewakan sebuah bilik hotel untuk berehat selama satu malaam sebelum meneruskan penerbangan ke Sydney dan seterusnya ke Adelaide keesokan paginya. Dan alhamdulillah, penerbangan tersebut sangat lancar.

Sebagai informasi, Adelaide sudahpun berada dalam musim bunga sekarang dan hujung minggu ini merupakan hujung minggu dengan suhu yang terpanas selama saya berada di sini. Suhu maksimum pada hari ini diramalkan pada 34 darjah celcius.

Saya sekarang sedang berada dalam cuti pertengahan semester selama dua minggu dan akan berakhir isnin ini. Kuliah-kuliah saya pada semester ini adalah pada hari rabu, khamis dan jumaat. Pada mulanya, saya telah mendaftar untuk menduduki 4 subjek namun telah menggugurkan salah satu darinya atas beberapa sebab iaitu subjek yang terlalu teknikal, kesukaran membahagikan masa dan kekangan masa untuk menguasai penggunaan software yang diperlukan untuk subjek berkenaan. Dan secara purata, jumlah tugasan bagi setiap subjek yang diambil ialah tiga tugasan. Oleh itu, saya perlu menyiapkan 9 tugasan pada semester ini. Alhamdulillah, tiga tugasan telah dihantar dan saya telah memperoleh HD (high distingtion) bagi dua daripada tiga tugasan tersebut manakala
satu lagi tugasan tersebut masih menanti proses pemarkahan. Saya kini sedang menumpukan untuk menyiapkan satu tugasan berkumpulan, dan dua tugasan individu secara berperingkat-peringkat.

Sebelum mengakhiri titipan, saya ingin sekali lagi mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada tuan/puan atas segala bantuan yang telah diberikan bagi melancarkan urusan pembelajaran saya di sini. Semoga tuan/puan akan sentiasa mendoakan kejayaan saya di sini dan In Sya-Allah, saya akan cuba yang terbaik sedaya upaya kemampuan saya di sini. Hingga bertemu lagi di lain waktu.

Assalamualaikum.

Ikhlas Daripada,
Muhammad Razlan bin Ibrahim Mukthar.

Have Your Say!