in Education

Mempersiapkan diri untuk menghadapi ekonomi baru selepas tamat pengajian

Kini ramai yang mula memperkatakan tentang ekonomi baru. Tapi apa maksud ekonomi baru sebenarnya?

Investopedia, mengistilahkan ekonomi baru sebagai “suatu perkataan baru yang hangat digunakan untuk menggambarkan industri-industri yang pesat pertumbuhannya. Ia juga menggambarkan industri-industri yang menggunakan teknologi-teknologi terkini untuk mengembangkan pertumbuhan ekonomi. Ekonomi baru dipercayai bermula sekitar 1990-an dengan penciptaan alat-alat teknologi maju seperti internet dan komputer-komputer berkuasa tinggi yang mula meresap ke dalam masyarakat dan dunia bisnes.”

Majikan-majikan dalam zaman ekonomi baru secara luarannya kelihatan sama seperti majikan-majikan terdahulu. Di antaranya, agensi-agensi kerajaan, syarikat-syarikat swasta dan juga pertubuhan-pertubuhan bukan untung. Namun, berhadapan dengan ekonomi baru, majikan-majikan yang disebutkan tadi terpaksa menukar cara dan pendekatan mereka disebabkan kemajuan teknologi baru. Kebelakangan ini, agensi-agensi kerajaan dan kementerian-kementerian sudah mula menggajikan lebih ramai saintis data, pakar keselamatan siber dan juga jurutera komputer. Pekerjaan-pekerjaan tersebut mungkin tidak wujud atau kurang popular pada masa dahulu. Walau bagaimanapun, ianya semakin hari, semakin popular dan permintaan untuk pekerja-pekerja seperti itu semakin meningkat.

Dengan mengetahui perubahan jenis pekerjaan yang diperlukan para majikan, bagaimana cara kita sebagai pelajar universiti, mempersiapkan diri untuk berjuang di dalam arena ekonomi baru, setelah tamat pengajian di perguruan tinggi?

Sebagai permulaan, kita harus memahami bahawa sarjana yang kita peroleh dari perguruan tinggi tidak boleh menjamin pekerjaan yang baik untuk kita. Sarjana yang kita terima mungkin tidak boleh melindungi kita daripada pengangguran ataupun mendapat pekerjaan yang tidak menggunakan kebolehan kita sepenuhnya dan membayar kurang daripada apa yang kita sepatutnya dibayar mengikut tahap pendidikan. Ilmu yang kita peroleh di universiti membawa faedah tetapi ia mungkin tidak diperlukan majikan. Majikan anda pula mungkin memerlukan kebolehan-kebolehan yang tidak pernah diajar di universiti. Kita tidak boleh menyalahkan universiti sahaja untuk masalah ini. Arus perubahan dalam dunia teknologi sangat kuat dan teknologi berubah dengan sangat pesat. Dalam waktu yang diambil pihak universiti untuk mengubah ‘syllabus’ di universiti dan menyiapkan bahan mengajar, sesuatu teknologi yang lebih baru akan muncul.

Dengan itu, bagaimana caranya untuk para pelajar perguruan tinggi mengendalikan situasi ini?

Kita harus mempelajari cara untuk belajar. Kita perlu mengenal pasti ketua-ketua dalam industri yang kita mahu sertai dan cuba untuk membaca minda mereka tentang industri tersebut. Kita mahu mengetahui pandangan mereka tentang kemahiran-kemahiran yang diperlukan dalam industri tersebut supaya kita boleh cemerlang dalam industri itu. Kita boleh mengikuti ketua-ketua industri ini dan membaca pemikiran mereka melalui profil Linkedin, Facebook ataupun Twitter mereka. Juga, kita boleh membaca portal berita yang khusus untuk industri kita. Misalnya kalau awak seorang peminat keusahawanan tekonologi, awak boleh membaca portal-portal berita teknologi seperti Techinasia, E27 dan juga Techcrunch.

Kemudiannya, untuk mempelajari kemahiran-kemahiran baru yang dibangkitkan ketua-ketua industri ataupun pemerhati-pemerhati industri, kita boleh melungsuri portal kursus atas talian seperti Udemy, Coursera dan sebagainya untuk menjalani kursus-kursus yang membolehkan kita untuk meningkatkan kemahiran kita. Biasanya, kursus-kursus yang terdapat di portal seperti Udemy dan Coursera adalah kursus-kursus yang berbayar. Namun, kalau kita kekurangan dana, kita boleh juga melungsuri Youtube dan menonton video-video tutorial ataupun kuliah yang dimuat naikkan untuk tontonan orang ramai.

Mencari pekerjaan hanya akan menjadi lebih sukar pada masa hadapan kerana semakin hari semakin banyak teknologi baru yang akan wujud dan mungkin kita tidak sempat untuk mempelajari satu teknologi baru sebelum teknologi yang lebih baru diwujudkan.

Mungkin anda kurang yakin dengan apa yang saya bincangkan di dalam artikel ini. Percayalah, banyak pekerjaan yang kita fikir selamat daripada ‘ancaman’ teknologi, akan hapus dalam beberapa tahun akan datang. Umpamanya, ramai di antara kita yang berfikir bahawa institusi-institusi perbankan yang selalunya kukuh dan memerlukan pekerja yang ramai untuk menjalankan fungsi bank akan terus menggajikan pekerja yang ramai. Namun, sebaliknya yang dijangkakan ketua-ketua industri perbankan seluruh dunia.

Citigroup, antara bank terbesar di dunia, menyatakan bahawa 30% daripada pekerjaan di sektor perbankan akan hapus dalam masa 8 tahun ke hadapan. Ini disebabkan pengunaan robot yang semakin luas dalam sektor perbankan.

Dengan pengetahuan tentang realiti ekonomi baru, kita harus memastikan bahawa kita mempunyai kemahiran-kemahiran yang diperlukan industri. Kita harus juga proaktif dalam mempelajari kemahiran-kemahiran terkini yang tidak diajar di perguruan tinggi. Ekonomi baru nampak menyeramkan buat sesetengah orang tetapi inilah realiti dunia baru. Kita harus cuba untuk kekal optimis dalam situasi sebegini. Kita harus menggunakan akal rasional untuk melakarkan strategi yang kukuh supaya kita dapat berjaya dalam ekonomi baru.

Have Your Say!

Write a Comment

Comment